Tuesday, 5 August 2025

Pemandu Bas Langgar Pokok di UPM Dipenjara Seminggu, Denda RM8k


Seorang pemandu bas yang melanggar pokok di Universiti Putra Malaysia (UPM) hingga mencederakan seorang guru dan tiga kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Mohamad Hamir Masruddin, 44, dikenakan hukuman tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula Selasa dan lesen memandunya digantung selama lima tahun. Sekiranya gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara sehingga tujuh bulan. 

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didakwa memandu tanpa mengambil kira semua keadaan termasuk jenis, keadaan dan keluasan jalan serta tahap kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di laluan berkenaan, dengan cara yang membahayakan orang awam. 

@thewanyzain

Kejadian today.. alhamdulillah xde yang teruk... #accident #accidentupmserdang #pasti #UPMSerdang

♬ Dawai (From "Air Mata Di Ujung Sajadah") - Fadhilah Intan


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran di UPM pada jam 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan.
  • hukuman penjara sehingga lima tahun
  • denda antara RM5,000 hingga RM15,000
  • hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan tiada pekerjaan tetap dan menanggung ibunya yang sakit di kampung. 

"Saya cuma pekerja sambilan, kalau ada kerja baru dapat gaji. Ibu saya pula sakit di kampung," katanya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi mencadangkan agar hukuman setimpal dikenakan. 

"Tertuduh memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap empat mangsa," katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan, berdasarkan siasatan awal, pemandu bas terbabit dipercayai terlelap sebelum melanggar pokok di lokasi kejadian. 

Bas tersebut membawa 30 murid dan lima guru dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang dan ketika kejadian, sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke MAEPS Serdang. 

Sumber: Berita Harian

EmoticonEmoticon